Tuesday 8 March 2011

Peraduan "Ibu....Kaulah Ratu Hatiku".

Suatu masa dahulu ketika puteri sulung saya Syafiqah berusia 2 tahun lebih, dia telah menyertai peraduan "Ibu.... Kaulah Ratu Hatiku. Peraduan ini meminta peserta menyediakan kad bersempena menyambut hari ibu dengan bertemakan "Ibu.... Kaulah Ratu Hatiku". Peraduan ini adalah anjuran adikbijak.com. Banyak pengalaman berharga diperolehi yang dapat dikongsi bersama. 

Kad ini untuk UMI.
Semasa saya melihat iklan peraduan ini saya terfikir bolehkah Syafiqah menyertai pertandingan ini. Tambahan pula tiada had umur minimum yang ditetapkan. Ini peluang untuk Syafiqah. Saya cuba memikirkan apa yang boleh dilakukan oleh anak kecil berusia 2 tahun lebih ini. Dengan kemampuan kawalan tangan dan jari yang terhad, saya mengajar dia menggunting kertas, melekat, mengecop, mewarna batik dan mewarna tulisan menggunakan blok. Hasilnya sangat menarik.

Saya mulakan dengan menggunting kertas. Saya membeli gunting khas untuk kegunaan kanak-kanak supaya dia tidak terpotong jari. Saya mengajar dia memegang gunting dan cuba menggunting kertas yang agak keras kerana gunting ini diperbuat daripada plastik. Agak sukar untuk memotong kertas yang nipis. Setelah dia boleh menggunting saya lukis bentuk yang mudah seperti bentuk hati dan meminta dia menggunting bentuk tersebut. Saya memegang tangannya supaya dia dapat menggunting bentuk tersebut dengan lebih baik.

Syafiqah suka melekat pelekat. Dia sangat suka apabila diminta untuk melekatkan kertas yang dipotongnya pada kad. Saya mengajar dia meletakkan gam pada kertas yang dipotong tadi dan lekatkan pada kad. Saya menaip dan print out huruf serta mencari perkataan-perkataan di majalah dan meminta dia memotong dan melekatkan perkataan tersebut. Saya mengajar dia huruf-huruf yang terdapat pada perkataan tersebut. Secara tak langsung dia lebih mengingati huruf. 

Cantikkan karya Syafiqah!
Syafiqah juga gemar mengecop. Saya memikirkan corak apa yang boleh dia lakukan. Cop tapak tangan adalah yang paling mudah dan disukai oleh budak-budak. Saya mengajar dia mewarna tangan dan mengecop tapak tangan di kertas kosong. Saya menggunakan blok huruf dan meminta dia mewarna blok untuk membentuk perkataan. Ini kerana diawal usia 2 tahun, kanak-kanak belum mampu menulis. Jadi dengan menggunakan blok huruf dia boleh menulis perkataan yang dia mahu.

Saya sangat sukakan batik. Satu keistimewaan batik ialah walaupun tidak pandai mewarna ia akan nampak catik asalkan pemilihan warna yang betul. Saya sudah lama tidak membatik. Saya belajar membatik semasa di tingkatan 3. Inilah peluang saya untuk melepaskan 'gian'. :) Saya meminta dia memilih warna yang disukai dan mengajar dia mewarna pada kain yang telah dicanting.

Bagi menyerlahkan kasih dia kepada ibunya iaitu saya, :) , saya meminta suami untuk menangkap gambar kami berdua. Dia sangat sukakan gambar ini. Saya semadikan gambar ini di dalam kad tersebut. Kad yang terhasil sangat cantik. Saya sendiri bangga dengan kemampuan puteri saya itu. Apatah lagi puteri saya itu. Dia menunjukkan kad yang dia buat pada semua orang. Ini meningkatkan keyakinan dalam diri dia.

Saya mula yakin pada kad tersebut. Saya dapat merasakan yang kami akan menang. Pada tanggal 23 Mei 2010 saya menerima email dari Puan Rosnita, pemilik adikbijak.com menyatakan kami merupakan pemenang Hadiah Utama 1. Jutaan terima kasih kepada penganjur pertandingan yang memberi kami pengalaman berharga ini.


HADIAH UTAMA - 1
Penginapan 3 Hari 2 Malam di Apartmen Suria, Bukit Merah Laketown Resort
Buku: Kisah Haiwan Makkah Zaman Rasulullah s.a.w
Buku: Didik Anak Jadi Usahwan
MB03312
Nor Akasyah Shuib
Anak : Syafiqah Akasyah Shazwan (3 Tahun)
Karak, Pahang



Terima kasih Syafiqah.
 

No comments:

Post a Comment