Saturday 5 March 2011

Anak-anak adalah PERMATA

Assalamualaikum....

Bercerita mengenai anak-anak pasti tidak pernah habis. Mereka adalah anugerah Allah yang tak dapat dinilai dengan wang ringgit. Tanggungjawab kita sebagai ibubapa juga tidak terhad kepada membesarkan mereka sahaja. Cabaran yang paling besar adalah bagaimana hendak mendidik dan membentuk mereka menjadi anak yang berjaya di dunia dan akhirat. Setiap ibubapa menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tetapi kita sering berdepan dengan pelbagai masalah terutamanya masalah kerenah anak-anak. Kita harus bersyukur sekiranya kita dikurniakan anak yang mendengar kata, bijak, cantik serta taat kepada Allah tetapi kita tidak boleh mengeluh dan menyerah sekiranya kita dikurniakan anak-anak istimewa, sangat aktif, lembab dalam pelajaran, degil, melawan cakap ibubapa dan sebagainya. Sebagai ibubapa kita harus bijak dalam menangani setiap masalah yang dihadapi.

Saya pasti ramai ibubapa yang terbelenggu dengan masalah yang dihadapi. Saya juga tidak terlepas daripada masalah ini. Saya dikurniakan puteri sulung saya sangat aktif, agak degil dan bijak. Kebijaksanaan dia membuatkan saya pening kepala. Mesti ramai yang hairan kenapa anak yang bijak juga memeningkan kepala ibubapa.

Mohd Saifuddin Akasyah bin Shazwan & Syafiqah Akasyah binti Shazwan.
Mana tak pening, cuba bayangkan, dia telah menumpahkan nasi, saya cakap dekat dia "Syafiqah makanlah elok-elok. Tengok! Dah tumpah. Kesian nasi. Nasi tu nangis sebab Syafiqah tumpahkan dia". Cuba teka apa dia jawab. "Nasi mana boleh nangis sebab nasi tak ada eye, tak ada mouth". Terdiam sekejap saya. Betul juga cakap dia. Sejak dari hari itu saya tidak lagi menggunakan alasan yang tidak masuk di akal.

Persekitaran memberi pengaruh yang besar kepada sifat dan perangai anak-anak. Pada mulanya saya dan suami selalu marah-marah dan pukul dia sekiranya dia buat salah. Saya dapati dia menjadi pemarah dan suka pukul orang. Kuat mengamuk dan selalu buat perangai. Saya syorkan pada suami jangan selalu pukul dan marahkan dia. Saya cuba menggunakan pendekatan yang lebih halus. Kalau dia tumpahkan air, saya suruh dia berhati-hati, selepas itu saya menyuruh dia mengelap air tersebut. Walaupun tak kering, ini akan mengajar dia lebih bertanggungjawab. Sekiranya dia tidak mendengar kata, saya akan menutup rancangan kegemaran dia (Playhouse Disney) atau tanya dia "Syafiqah ada ears tak?" Pasti dia jawab, "ada umi". "Kalau ada, umi potong jer ears tu boleh... bukan Syafiqah nak guna pun. Nanti umi ambil scissor." Pasti dia akan buat apa yang disuruh. Kalau dia buat salah dia akan didenda. Saya akan terangkan kepadanya kenapa dia kena denda. Saya mesti fahamkan dia tentang kesalahan dia. Saya minta dia cakap sorry dan jangan ulang kesalahan yang sama lagi. Tetapi sekiranya dia buat sesuatu yang baik, saya akan pastikan saya ucapkan thank you, good girl dan saya akan mencium dia. Dia sangat suka bila dia dihargai. 

 Kadangkala anak kecil kita buat perangai. Marah-marah tak tentu pasal. Mengamuk dan menangis. Kita sebagai ibubapa harus bersabar. Berfikir secara waras. Jangan marah dan tengking dia pula. Ini akan memburukkan lagi keadaan. Saya selalu berdepan dengan situasi sebegini. Apa yang saya lakukan adalah meminta dia bertenang terlebih dahulu. Suruh dia berhenti menangis, ini kerana kalau dia menangis dia tak dapat bercakap apa yang dia mahukan. Ikut kehendak dia apa yang dia nak atau tunjuk ajar dia apa yang dia nak buat. Sekiranya kehendak dia tak masuk akal, fahamkan dia dengan baik. Selepas itu buatkan susu untuk dia. Biasanya keadaan ini terjadi kerana dia lapar. Tetapi sebab nak main dia terlupa nak makan. Anak kecil biasanya sayang nak tinggalkan permainan untuk berhenti makan.  

Bercakap tentang positif. Saya akui senang untuk bercakap sukar untuk dipraktikkan. Saya cuba untuk menjadi ibu yang berfikiran positif dalam mendidik anak-anak. Saya cuba elakkan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak baik kepada anak-anak. Ini kerana kata-kata ibu adalah doa. Bila kita sering menyebutnya ia akan terpahat difikiran anak dan anak akan mengakui kebenaran perkataan tersebut. Contohnya, bila kita berdepan dengan anak yang degil, sukar untuk kita tidak mengeluarkan perkataan tersebut. Apa yang saya lakukan, saya tukarkan perkataan degil dengan perkataan 'cuba dengar cakap umi'. Saya terangkan mana sifat-sifat 'good girl', mana sifat-sifat 'tak good girl'. Saya akan meminta dia memilih hendak menjadi 'good girl' atau 'tak good girl'. Saya menggunakan istilah 'tak good girl' bukan 'bad girl' sebab 'bad girl' adalah negatif. Perkataan 'tak' biasanya tidak terpahat dikepala anak. Jadi perkataan yang terpahat adalah 'good girl'. Namun saya akui kadangkala kita akan terlepas cakap bila dalam keadaan marah. Bila terlepas cakap saya terangkan kepada dia, "kalau tak dengar cakap umi, degillah tu. Umi tak mahu anak yang degil. Syafiqah nak jadi anak umi kena dengar cakap umi. Kena jadi good girl". Saya akui bukan senang hendak mendidik anak-anak. Saya cuba yang terbaik buat anak-anak saya selebihnya saya bertawakal dan berdoa. Hanya Allah penentu segalanya.

Tidak dapat dinafikan doa ibubapa adalah antara doa yang dimakbulkan Allah. Saya selalu mengingatkan diri saya sendiri agar tidak lupa mendoakan anak-anak kesayangan saya itu agar mereka sentiasa dilindungi dan dipelihara olehNya serta dijauhkan daripada kejahatan jin dan manusia. Saya juga berdoa agar diberi petunjuk dan kekuatan dalam mendidik mereka supaya mereka menjadi hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat kerana mereka adalah PERMATA kesayangan saya. 

No comments:

Post a Comment