Saturday 12 March 2011

Upah @ Tolong

Bercerita mengenai upah saya teringat masa kecil-kecil dahulu saya selalu ambil upah dengan mak dan kakak. Mak minta tolong saya ke kedai, saya mesti minta upah. Sehinggakan cabut uban kakak pun saya minta upah. Sekarang apabila dah ada anak saya cuba nak terapkan betapa susahnya mencari duit. Apabila Syafiqah asyik minta buku sticker, saya cakap dengan dia tak ada duit. Kalau nak duit kena kerja dahulu. Jadi dia pun cakap dia nak kerja. Buku sticker punya pasal apapun sanggup. Saya pun beri dia kerja.

Saya minta dia kemaskan meja di pusat tuisyen. Dia pun dengan semangat 'buku sticker' bekerja keras untuk dapatkan duit. "Umi dah siap. Jom beli buku sticker". Saya cakap belum cukup lagi. Saya minta dia susunkan buku. Sekali lagi "Umi dah siap. Jom beli buku sticker". Saya cakap belum lagi. Saya minta dia basuh pinggan  di dapur pusat tuisyen. "Umi dah siap. Jom la." "Oklah." Saya pun bagi upah kepada dia. Bukan main seronok lagi dapat duit sebab dia tahu bila ada duit dia boleh beli buku sticker.


Walaubagaimanapun terdapat kesan buruk disebalik pengajaran yang saya cuba terapkan. Keesokkan harinya, apabila saya minta tolong, dia tak mahu buat. Saya cakap saya bagi upah pun dia tak mahu. Tahu dia cakap apa? "Tak mahulah umi, Syafiqah dah ada buku sticker". Saya mula berfikir. Adakah apa yang saya lakukan semalam adalah salah? Sejak itu saya tak beri upah lagi kalau minta dia tolong buat kerja-kerja rumah. Cukup sekadar ucapan terima kasih, pujian dan ciuman. Saya tak mahu ajar dia melakukan sesuatu mengharapkan duit semata-mata.

Walaubagaimanapun saya masih menanam hasrat untuk mengajar dia bekerja mencari duit. Saya mahu menerapkan kesusahan dalam mencari duit agar dia lebih menghargai duit yang diterima.



No comments:

Post a Comment